Friday, June 5, 2009

ARAH PENGUNDI MUDA DALAM ARUS POLITIK NEGARA

SEORANG kenalan yang cukup dikenali sebagai seorang penganalisis politik yang kritis memberitahu kemenangan sesebuah parti sama ada parti kerajaan atau pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 kali ini amat bergantung kepada calon.Walaupun umum mengetahui faktor kekuatan parti penting, pemilihan calon kurang tepat katanya boleh menyebabkan kekalahan.

Mesej beliau jelas iaitu pengundi sekarang lebih bermaklumat, lebih kritikal, tidak mudah dimomokkan dengan kempen-kempen yang bersifat retorik terutama di kalangan pengundi-pengundi muda.Katanya, semua pihak harus sedar bahawa dengan kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT), pengundi-pengundi muda kini tidak hanya bergantung kepada maklumat media arus perdana tetapi mereka berupaya mengakses pelbagai bentuk informasi di dalam alam siber khususnya tulisan-tulisan di dalam laman blog.


Inilah senario yang berlaku sekarang. Pengundi muda mempunyai sumber lain untuk mendapatkan maklumat tambahan khususnya dari alam siber (laman-laman blog) . Benar atau tidak itu soal lain kerana mereka tetap akan membaca laman-laman berkenaan. Ekoran daripada keadaan tersebut, ia menjadi cabaran kepada parti-parti politik untuk mendapatkan sokongan mereka pada pilihan raya umum kali ini.


Berdasarkan kepada statistik terkini dianggarkan dua hingga tiga juta daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar adalah di kalangan pengundi muda dan perlu diakui mereka mempunyai kuasa untuk memilih.Meskipun mereka tidak boleh menentukan kemenangan parti secara mutlak namun setiap undi adalah amat penting.‘‘Pergerakan Pemuda mengakui bahawa setiap undi orang muda amat penting dalam usaha kita memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum kali ini. Mahu tidak mahu kita perlu mendampingi mereka walau apa cara sekalipun.

‘‘Berhadapan dengan golongan ini bukannya mudah kerana mereka merupakan golongan bermaklumat malah ada di antara mereka agak kritikal ketika memberi pendapat,” kata bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Idris Harun.

Setiap perkara yang hendak disampaikan perlu disertakan dengan fakta dan bukannya hanya sekadar ‘omongan kosong’.Oleh itu kumpulan yang ditugaskan untuk mendekat golongan berkenaan akan dipastikan mempunyai tahap pengetahuan yang tinggi dalam apa jua isu serta mempunyai personaliti yang meyakinkan. Kita tidak boleh terlalu mudah membuat persepsi dengan hanya berdasarkan tindakan segelintir pemuda yang secara terbuka menyokong perjuangan pembangkang kerana sebahagian besar mereka bersama UMNO walaupun mereka bukan ahli parti.

UMNO perlu mengambil segala tindakan drastik dan jgn terlalu leka membiarkan pihak pembangkang menggunakan alam siber untuk mempengaruhi rakyat dan bagi menangkis dakyah mereka ini Pemuda UMNO perlu menggunakan kaedah (alam siber) yang sama untuk memberi penjelasan kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama seorang aktivis pembangkang turut mengakui pentingnya usaha meraih sokongan orang muda kerana jumlah mereka yang berdaftar sebagai pengundi ketika ini agak meningkat.‘‘Kesedaran mereka terhadap kepentingan menjadi pengundi berlaku sejak pilihan raya umum 1999. Mulai tahun itu kita lihat ada peningkatan jumlah pengundi muda secara mendadak. Mereka mula sedar pentingnya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

No comments:

Post a Comment